03/09/2007
Pengarah Perhubungan Korporat Universiti Sains Islam Malaysia
PENGISIAN kemerdekaan memerlukan usaha yang berterusan daripada semua warga terutama sekali generasi muda. Banyak kemajuan yang telah dicapai oleh generasi muda melalui usaha kuat mereka dan dasar-dasar kerajaan.
Jumlah golongan muda yang berjaya meneruskan pengajian mereka di institusi pengajian semakin bertambah.
Pelajar melalui sistem pendidikan negara semakin ramai yang mencapai kejayaan cemerlang dalam keputusan peperiksaan mereka. Pelbagai kejayaan sama ada dalam bidang sukan, seni, sains, teknologi maklumat juga telah ditempuhi oleh generasi muda.
Kejayaan Nicol David, pelumba-pelumba cilik pasukan Formula Future dan badminton misalnya telah membuktikan kejayaan generasi muda untuk berjaya di peringkat antarabangsa. Begitu juga bakal angkasawan pertama negara juga adalah terdiri daripada pelapis muda. Mereka juga semakin bijak dalam mengikuti perkembangan global dunia.
Malah, penerima ijazah Doktor Falsafah (PhD) termuda hanya berumur 26 tahun, satu lagi bukti kejayaan cemerlang generasi muda.
Bagaimanapun, generasi muda juga menghadapi pelbagai permasalahan yang jika tidak diatasi akan memberi kesan kepada usaha merealisasikan 50 tahun fasa kemerdekaan kedua dengan lancar.
Pelbagai permasalahan sosial di kalangan generasi muda terutama remaja diperkatakan. Statistik penyalahgunaan dadah masih lagi memberi petunjuk mengenai kedudukan masalah ini di peringkat yang membimbangkan.
Penyalahgunaan dadah membawa bersama-sama masalah HIV/AIDS. Kesan penyalahgunaan dadah kepada negara boleh membantut usaha menjayakan dasar-dasar yang diwujudkan negara kerana masalah ini melemahkan keupayaan dan ketahanan sesuatu bangsa.
Sekiranya masalah ini tidak ditangani segera, ia akan memberi kesan kepada pembangunan modal insan kerana remaja merupakan aset yang bernilai bagi negara. Jatuh atau bangunnya nama negara terletak kepada kepimpinan generasi pelapis.
Perangkaan statistik kes jenayah dan salah laku membabitkan remaja di Malaysia kian serius dan bertambah kronik.
Mereka juga kurang mempunyai semangat patriotisme kerana dikatakan tidak dapat merasa detik-detik perjuangan kepayahan menuntut kemerdekaan di samping hidup dalam zaman yang selesa.
Tanggungjawab membina kejayaan negara dan sanggup bekerja keras untuk negara banyak terletak di bahu generasi muda sendiri di samping mendapat bantuan dan bimbingan semua pihak.
Pihak kerajaan dalam memastikan generasi muda sentiasa cemerlang telah, sedang dan akan melaksanakan pelbagai program. Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Rakan Muda adalah antara dua program besar membuktikan komitmen kerajaan dalam membina jati diri remaja.
Pembinaan jati diri generasi muda juga turut dibina melalui pendidikan. Pendidikan memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negara maju 2020.
Kementerian Belia dan Sukan juga sering terlibat dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti untuk membantu diri remaja dan belia memajukan diri mereka. Majlis Penggalakan Ekonomi Belia (MPEB) telah diwujudkan bagi membantu golongan muda yang ingin berniaga mendapatkan maklumat dan bantuan.
Konvensyen Pembangunan Belia Meneroka Generasi 2007 contohnya bertujuan menentukan hala tuju, falsafah dan strategi pembangunan belia yang progresif, menggariskan mekanisme pengurusan pembangunan belia, menyediakan kod etika pertubuhan belia dan membina teras pembangunan belia yang terbilang.
Generasi muda melalui kesedaran mereka dan bantuan pihak lain diharapkan akan terus memastikan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang aman dan stabil, mengamalkan kesederhanaan serta saling menghormati dalam aduan warga pelbagai budaya.
Adalah tugas generasi muda untuk memastikan Malaysia akan terus berpegang kepada konsep keadilan dan kesaksamaan, mengusahakan kemiskinan dihapuskan dan memastikan kemakmuran dapat dinikmati bersama.
Selain itu, adalah juga menjadi harapan agar generasi muda akan mengisi perjuangan kemerdekaan dalam fasa 50 tahun kedua dengan memastikan prinsip demokrasi akan terus diamalkan dan mengurus negara dengan bijak.
Kejayaan negara dalam fasa kedua 50 tahun kemerdekaan negara memerlukan komitmen semua warganegara terutama sekali generasi muda. Seluruh rakyat Malaysia perlu memulakan fasa 50 tahun kedua kemerdekaan dengan komitmen dan tidak membenarkan lagi bumi dan minda dijajah.
SUMBER: Arkib Utusan Malaysia Online
No comments:
Write comments